Monday, February 18, 2008

Rumus Lailatul Qadar

Salam,

Arwah tok aku pernah cerita :


Wahai yang bertanyaTentang lailatul qadar bila ada ia10 terakhir Ramadhan tempatnya diaPada yang gasal diharap adanyaDiketahui ia dengan hari Ramadhan bermulaJika Ahad dan Rabu mula ia, malam ke-29 itulah diaJumaat dan Selasa, ke-27 jadi iaKhamis mula, ke-25 pulaJika Sabtu hari pertama, ke-23 malam utamaJika Isnin pula, malam ke-21 jangan lupaInilah kaedah dinaqal iaDari kalangan ahli sufi zuhud tak cinta duniaAlhamdulillah wasy Syukrulillah, bertemu kita dengan 10 hari terakhir bulan Ramadhan yang mulia. Dalam hari-hari terakhir ini kita dianjurkan untuk mempertingkatkan amal ibadah, beri'tikaf dan menghidupkan malam-malamnya. Antara malam-malamnya pula ada anugerah daripada Allah berupa lailatul qadr yang lebih baik dari 1000 bulan ( bukan seperti 1000 bulan tetapi lebih baik lagi). Syaikhan meriwayatkan daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:-

"Sesiapa yang menghidupkan malam lailatul qadr (beribadah) dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu."
Para ulama berbeza pendapat dalam menentukan malam yang dikatakan sebagai lailatul qadr. Jumhur ulama tidak menentukannya dengan malam yang tertentu bulan Ramadhan untuk setiap tahun, tetapi menyatakan bahawa ianya adalah pada salah-satu malam dari 10 malam yang terakhir dan pada yang ganjil adalah lebih diharapkan. Antara sandaran untuk pendapat ini ialah hadits riwayat asy-Syaikhan, Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, daripada Sayyidatina 'A-isyah r.anha bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:-

"Carilah lailatul qadr pada 10 terakhir dari bulan Ramadhan"Banyak juga ulama yang menetapkannya dengan malam tertentu dalam setiap tahun iaitu malam ke-27 Ramadhan (dalam bahasa kita dipanggil malam 7 likur) bersandarkan beberapa hadits antaranya yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dengan sanad yang shohih daripada Sayyidina Ibnu 'Umar r.anhuma di mana Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:-

"Sesiapa yang hendak mencarinya,maka carilah ia pada malam ke - 27"Di kalangan sebahagian ahli tasawwuf mereka ada formula sendiri untuk mengetahui malam tersebut, iaitu dengan melihat kepada hari awal Ramadhan. Bait-bait di atas yang aku beri erti dengan terjemah bebas adalah nazamnya Syaikh Abul Hasan yang kupetik dari Hasyiah al-Qalyubi juzuk 2 halaman 76, di mana dinyatakan bahawa:
Jika awal Ramadhan hari Ahad atau Rabu, maka lailatul qadrnya malam ke-29;
Jika awal Ramadhan hari Jumaat atau Selasa, maka lailatul qadrnya malam ke-27;
Jika awal Ramadhan hari Khamis, maka lailatul qadrnya malam ke-25;
Jika awal Ramadhan hari Sabtu, maka lailatul qadrnya malam ke-23;
Jika awal Ramadhan hari Isnin, maka lailatul qadrnya malam ke-21.
Kata Syaikh Abul Hasan dengan menggunakan kaedah ini beliau sentiasa berjumpa dengan malam kemuliaan ini sejak usianya baligh lagi. Tetapi menurut sebahagian ulama, kaedah ini tidaklah mempunyai sandaran nash, tidak seperti ketentuan-ketentuan yang disebutkan terdahulu. Walau bagaimana pun kaedah ini hanya sekadar pendapat dan bukanlah satu ketetapan hukum, oleh itu sesiapa yang mahu boleh ikut sesiapa yang tidak terpulanglah.
Yang penting meningkatkan amal ibadah dengan penuh keimanan dan keikhlashan. Hanya mencari keredhaan Ilahi yang mesti disembah fi kulli waqtin wa hiin (setiap masa dan ketika), tidak hanya di malam lailatul qadr yang mulia. Mencari malam penuh keberkatan ini, setidak-tidaknya (yakni yang paling minima) hendaklah kita menjaga sholat Isya` berjemaah, melaksanakan tarawih (menurut jumhur tarawih itu 20 rakaat) berjemaah, berwitir secara berjemaah (kerana hanya dalam bulan Ramadhan sahaja disunnatkan witir berjemaah, sedangkan dalam bulan-bulan lain hanya harus sahaja) dan diakhiri dengan sholat Subuh berjemaah. Imam Muslim meriwayatkan daripada Sayyidina 'Utsman r.a. bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:-
"Sesiapa yang sholat 'Isya` berjemaah, maka seolah-olah dia telah berqiyam separuh malam; Dan sesiapa yang sholat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah bersholat sepanjang malam."
Jangan lupa memperbanyakkan doa yang dianjurkan Junjungan Nabi s.a.w. kepada Ummul Mu'minin Sayyidatina 'Aisyah yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi, Imam an-Nasai, Imam Ibnu Majah dan selainnya dengan sanad yang shohih, di mana dinyatakan:-
"Daripada Sayyidatina 'Aisyah r.anha berkata: "Aku berkata kepada Junjungan Nabi s.a.w.: "Ya Rasulallah, jika aku mengetahui lailatul qadr, apa yang aku ucapkan padanya?" Junjungan Nabi bersabda:- "Ucapkanlah : "Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Maha Pemberi Kemaafan (Maha Pengampun), suka memberi kemaafan (keampunan), maka maafkanlah (ampunkanlah) aku."

No comments: