Monday, February 18, 2008

Di Ambang Lailatul Qadar

Salam

Hari ini genaplah 19 hari kita berpuasa di Ramadhan 1428H. Sempena 19 hari yang telah kita lalui di bulan yang penuh barakah ini, marilah kita renung sejenak ke dalam diri kita. Sejauh mana 19 hari yang telah kita lalui ini berjaya mendidik hati-hati kita. Apakah kita semakin merasai kelazatan dalam beribadah ? Apakah kita semakin merasai penderitaan insan yang kurang bernasib baik yang hidup mereka bak kata pepatah kais pagi makan pagi kais petang makan petang ? Apakah kita semakin peka akan kedahagaan kasih sayang seorang anak kecil yang kematian ibu dan ayah ? Apakah kita semakin merasakan kekurangan dan kelemahan diri kerana taubat yang kita pohonkan masih tidak setimpal dengan dosa dan kemungkaran yang kita lakukan ?Atau .....Apakah kita masih ditakuk lama ? Bersenang-senang dengan dosa dan kemungkaran. Apakah kita masih merasakan diri kita insan suci yang bakal melangkah pintu syurgawi ? Atau apakah kita masih berlazat-lazat dengan maksiat dan merasakan ibadah ini hanya suatu rintangan untuk bersuka ria di akhirat ?Seandainya scenario pertama yang kita rasai, maka bersama-samalah kita sujud syukur ke hadrat Ilahi kerana menganugerahkan kita dengan rasa kehambaan untuk terus mentaati-Nya.Berdoalah kepada-Nya agar perasaan dan kekuatan beramal ini akan berterusan dan istiqamah dalam peringkat status quo. Agar kembalinya kita menghadap Allah dalam hati yang tenang. Mendapat keredhaan-Nya dan keampunan-Nya.Sebaliknya, jika scenario kedua yang kita alami. Sedarlah bahawa masih belum terlewat untuk kita merebut peluang di Ramadhan yang mulia ini untuk berubah. Tingkatkanlah azam dan paksalah hati untuk mengorak langkah ke arah kejayaan. Gunakanlah masa yang terluang untuk berzikir, berselawat dan membaca Al Quran. Dirikanlah malam dengan Tahajud, Tasbih dan Taubah. Raikanlah fakir miskin dan anak yatim piatu. Korbankanlah masa dan wang ringgit, agar si fakir dan si yatim, terukir senyuman di hari lebaran.Ingatlah akan tulisan ku yang lalu. Hari lebaran yang bakal menjelang mungkin merupakan hari kesedihan buat insan malang. Kerana di hari lebaranlah kenangan bersama insan tersayang yang telah menemui Ilahi datang menggamit. Tatkala kita bersuka-ria, mereka bermuram durja dan ada yang berendam di dalam linangan air mata.

Oleh itu, lakukanlah perubahan ini dengan hati yang ikhlas dan rendah diri. Agar amalan-amalan ini dinilai Allah sebagai amal taqwa di akhirat nanti. Dengannyalah nanti yang bakal menyelamatkan kita dari menjadi bakaran api neraka.

Kita sudah pun melewati fasa pertama Ramadhan yang menjanjikan rahmat. Kita juga sudah melewati fasa kedua Ramadhan yang menjanjikan keampunan. Kita diambang fasa ketiga Ramadhan yang menjanjikan pembebasan dari api neraka. Begitu juga di fasa ketiga ini, kita diraikan oleh Allah dengan kedatang Lailatul Qadar, malam yang menyamai seribu bulan. Barangsiapa beribadah di malam Al Qadar, bagaikan beribadah selama 1000 bulan. Rebutlah peluang ini walau kita dalam kesibukan. Gunakanlah sisa-sisa Ramadhan yang masih berbaki ini untuk kita meraih ganjaran pahala yang bakal mendekatkan kita dengan Allah.
Sempena Ramadhan Al Mubarak 1428H. Aku sekeluarga memohon ampun dan maaf seandainya ada terkasar bahasa dan keji akhlak yang aku lakukan, sama ada di sedari atau tidak, sepanjang aku menulis di emel merapu aku ni. Semoga Allah merahmati kita dan memimpin kita untuk menjadi hamba-Nya yang dikasihi lagi diampuni.

No comments: